7 Februari 2016

TUJUH PERKARA

TUJUH PERKARA PEMIMPIN AKAN BERHADAPAN


1. Amanah

Setiap jawatan yang kita sandang merupakan amanah. Semakin tinggi jawatan semakin tinggilah pula amanah yang perlu kita pikul. Ketua atau pemimpin terpaksa berdepan dengan amanah yang sangat besar. Tindakan yang tidak beramanah merupakan dosa.


2. Jalan betul atau salah

Pemimpin perlu memimpin orang bawahan atau pengikutnya ke jalan yang betul. Setiap langkah yang diambil atau lakukan hendaklah betul dan lurus. Tindakan yang tidak betul seperti bodek dengan pihak atasan akan mengajar orang bawahannya untuk melakukan pendekatan yang sama. Rezeki yang diperolehi dengan cara bodek atau memberi hadiah kepada ketua atau isterinya adalah tidak berkat kerana kita merampas hak orang lain yang lebih berhak. Pemimpin selalunya berdepan dengan hendak mendapatkan sesuatu melalui jalan betul atau salah.


3. Keadilan

Ketua atau pemimpin selalu berdepan dengan memilih untuk menaikkan pangkat siapa. Mahu memilih orang yang berkebolehan atau orang rapat dengannya yang kurang berkebolehan. Kesilapan dalam pemilihan akan memperlihatkan sifat keadilan kita. Pemimpin yang adil, hidupnya berkat dan begitulah juga di sebaliknya. Setiap pemimpin akan berdepan dengan keadilan.


4. Penipuan tidak langsung

Ada ketua atau pemimpin melawat kawasan atau membuat mesyuarat untuk membincang perkara yang berkaitan dengan kepentingan organisasi tetapi rupanya tersembunyi agenda lain seperti ingin bermain golf, sukan atau ziarah keluarga. Semua pemimpin akan berdepan dengan penipuan tidak langsung memandangkan mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.


5. Penganiayaan

Semakin tinggi kedudukan semakin tinggilah kuasa yang kita miliki. Peluang untuk menganiayai atau menzalimi orang bawahannya terbuka luas. Ketua atau pemimpin akan berdepan dengan situasi seperti ini. Ingat, doa orang yang dianiayai atau dizalimi dimakbulkan oleh Tuhan. 


6. Pembaziran

Salah satu tugas utama seorang pemimpin adalah menjaga kewangan dan perbelanjaan. Kuasa berbelanja terletak ditangannya. Ketua atau pemimpin boleh mempengaruhi pegawai bawahannya untuk membuat keputusan yang memihak kepadanya. Kadangkala banyak wang dihabiskan untuk projek atau program yang lari daripada fungsi utama organisasi. Pemimpin sememangnya akan berdepan dengan sifat pembaziran.


7. Ilmu pengetahuan

Ilmu yang kita miliki tidak datang dengan sendiri. Kita perlu belajar berterusan tanpa henti. Ketua atau pemimpin perlu mencari jalan menambahkan ilmu pengetahuan, jika tidak, mungkin keputusan yang dibuat selalu sahaja salah akibat kekurangan ilmu. Mereka sering mencari orang lain yang berpengetahuan untuk membuat keputusan. Penasihat yang jujur tidak menjadi masalah tetapi bagi yang mementingkan diri sendiri atau ingin merosakkan orang lain, tentulah keputusan yang dibuat oleh pemimpin akan dipertikaikan. Setiap pemimpin pasti akan berdepan dengan kekurangan ilmu pengetahuan.






TUJUH CARA ELAKKAN RUNSING

1. Bertindak mencari jalan bukan merungut

2. Banyakkan bertanya apa yang patut dibuat bukan kenapa tersilap buat

3. Paksakan diri untuk senyum bukan termenung

4. Rajinkan berdoa bukan malas untuk meminta sesuatu daripada Tuhan

5. Tenangkan fikiran bukan kelam kabut

6. Fikirkan ada orang lain yang susah jauh lebih teruk daripada kita bukan menyoal Tuhan

7. Sabar, tabah dan redha dengan apa yang berlaku bukan marah-marah






TUJUH GUNUNG TERTINGGI DI MALAYSIA

1. Gunung Kinabalu, Sabah 4,095m

2. Gunung Trusmadi, Sabah 2,642m

3. Gunung Tambuyukon, Sabah 2,579m

4. Gunung Murud, Sarawak 2,422m

5. Gunung Mulu, Sarawak 2,376m

6. Gunung Tahan, Pahang 2,187m

7. Gunung Korbu, Perak 2,183m







TUJUH PERKARA UNTUK BERJAYA

1. Mulakan langkah pertama dengan melakukan perkara yang baik

2. Jauhkan diri daripada melakukan maksiat

3. Jangan melanggar peraturan dan undang undang

4. Sentiasa memohon doa dan rajin berusaha untuk memenuhi apa yang kita hasratkan

5. Gunakan strategi dan teknik yang kreatif

6. Berani menghadapi kegagalan walaupun pernah gagal berkali-kali

7. Sentiasa bertawakal kepada Allah







TUJUH PERKARA SUAMI HARUS INGAT

1. Isteri itu adalah jodoh kita daripada berbilion wanita yang ada di muka bumi ini.

2. Hendaklah menghormati isteri melebihi hormat kepada ketua. Walaupun kedua-duanya itu bernilai tetapi nilai yang ada pada isteri jauh lebih tinggi daripada ketua.

3. Isteri bukan manusia sempurna dan samalah juga dengan suami. Setiap kali melihat kelemahannya, cepat-cepat cari dan kumpulkan sebanyak mungkin kebaikannya.

4. Setiap kali keseronokan yang kita perolehi, badan suami tetap satu tetapi isteri terpaksa menanggung seorang lagi bersamanya selama sembilan bulan dengan pelbagai kesusahan dan kesakitan.

5. Isteri adalah peneman di hari tua kerana apabila semua anak berumahtangga, mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing.

6. Umur kita ditentukan Tuhan. Waktu isteri masih sihat, berilah kasih sayang kerana jika sudah tiada, tidak ada gunanya menyesal.

7. Gembirakanlah hati isteri terlebih dahulu kerana biasanya selepas itu kita pula menjadi gembira.








TUJUH PERKARA HARUS DIHINDARI BILA BERTEMU SESEORANG

1. Asyik menceritakan kehebatan kita

2. Asyik menceritakan keburukan orang lain

3. Asyik menceritakan masalah kita

4. Asyik memuji kejayaan keluarga kita

5. Asyik hendak meminta pertolongan

6. Asyik menghentam orang yang kita tidak sehaluan

7. Asyik tidak puas hati dan mengeluh







TUJUH PERKARA TENTANG CINTA

1. Cinta itu indah atau menyedihkan

2. Sekuat mana bercinta, jodoh belum pasti

3. Cinta itu buta dan tidak mengenal siapa

4. Cinta lahir dan bertambah tanpa disedari

5. Lelaki boleh habis harta kerana mainan kata-kata cinta daripada wanita kesukaannya

6. Cinta bukan boleh dipaksa

7. Cintakan Tuhan merupakan cinta sejati






TUJUH PERKARA SUKAR DICARI JAWAPAN DARIPADA KATA-KATA SESEORANG

1. Niatnya

2. Keikhlasan

3. Kejujuran

4. Hati

5. Perasaan

6. Tanggapan

7. Keimanan 







TUJUH PERKARA PERLU DILAKUKAN UNTUK MENJADI USAHAWAN 

1. Mengenalpasti jenis perniagaan yang mahu dijalankan dan siapa yang akan menggunakan produk kita. 

2. Melakukan dengan penuh komitmen dan tanamkan sikap tidak mengenal putus asa. 

3. Menyenaraikan beberapa objektif untuk dicapai.

4. Mengatur strategi jangka pendek dan jangka panjang.

5. Membuat pengiklanan melalui media cetak dan sosial.

6. Menjaga kualiti setiap proses yang terlibat dalam pengeluaran produk.

7. Menepati janji terhadap pelanggan.







TUJUH PERKARA SELALU BERCANGGAH

1. Pemerintah menyalahkan rakyat dan rakyat menyalahkan pemerintah.

2. Ketua kata anak buah tidak bekerja bersungguh-sungguh dan anak buah pula kata, ketua tidak mengambil berat tentang anak buah.

3. Bapa kata anak malas membantu ibubapa mengemas rumah dan anak pula kata, ayah pun tak pernah nak bantu emaknya mengemas.

4. Pemilik restoran kata pelanggan tidak pandai menggunakan tandas dan pelanggan kata, taukeh tidak pandai menjaga tandas sehingga kotor dan busuk.

5. Cikgu kata murid sekarang tidak berdisiplin dan murid pula kata, cikgu banyak bermesyuarat.

6. Doktor kata pesakit tidak suka buat pemeriksaan kesihatan dan pesakit pula kata, doktor periksa pesakit sambil lewa saja.

7. Boss kata pekerja suka tidak mematuhi peraturan dan pekerja pula kata boss selalu melaksanakan program yang membazir bertujuan menaikkan namanya.








TUJUH TUGAS UTAMA PETUGAS PENJARA

1. Menahan banduan sehingga dibebaskan

2. Menyediakan keperluan asas kepada banduan

3. Melindungi dan menjaga keselamatan banduan

4. Menjaga ketenteraman dan keharmonian penjara

5. Memberi layanan mengikut peraturan yang ditetapkan

6. Memberi bimbingan dan memulihkan banduan

7. Melaksanakan hukuman rotan dan gantung sampai mati atau sebarang perintah terhadap banduan oleh hakim mahkamah





6 Februari 2016

MELBOURNE AUSTRALIA 2015

Day 7 -- 30/10/2015 Lawatan ke Sovereign Hill, Melbourne, contoh sebuah kawasan penempatan lama penduduk Melbourne. Bayaran masuk AUS50 seorang.










1 Februari 2016

SISTEM KEADILAN JENAYAH

SISTEM KEADILAN JENAYAH


Definisi 

Sistem keadilan jenayah merupakan sistem penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan penangkapan, pendakwaan, pembelaan, penghukuman dan pemenjaraan ke atas penjenayah. Sistem ini memberi jaminan kepada masyarakat bahawa setiap orang yang melanggar undang-undang jenayah atau penjenayah tidak boleh terlepas daripada tindakan undang-undang ke atas mereka. Penjenayah hendaklah bertanggungjawab dengan setiap jenayah yang dilakukan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan ke atas mereka. Pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan sistem ini adalah terdiri daripada beberapa agensi atau jabatan seperti polis, pendakwa raya, mahkamah, penjara dan lain-lain.


Tujuan Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah mempunyai beberapa tujuan seperti berikut:

a) Menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat

b) Mencegah dan mengurangi jenayah

c) Mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah

d) Memulihkan pesalah supaya menjadi warga yang berguna



Proses Keadilan Jenayah

Keadilan jenayah merupakan satu proses yang melibatkan langkah demi langkah bermula dengan penyiasatan terhadap penjenayah sehinggalah kepada pembebasan sabitan itu daripada penjara. Antara langkah yang diambil dalam proses sesuatu kes jenayah adalah seperti berikut:

a) Siasatan

Polis akan bertindak menjalankan siasatan apabila berlaku sesuatu jenayah. Ia bertujuan untuk mengumpulkan bukti bagi mengenalpasti sama ada jenayah itu wujud atau tidak. Jika didapati wujud, siasatan akan diteruskan lagi bagi menambahkan bukti untuk membolehkan penangkapan dilakukan. Kadang-kadang siasatan yang dijalankan memerlukan pemeriksaan terhadap seseorang atau harta benda. Sebab kemungkinan merupakan bukti standard yang digunakan dalam menjalankan sesuatu pemeriksaan.


b) Penangkapan

Polis akan menangkap seseorang yang disyaki melakukan jenayah. Ini termasuk tindakan menahan mereka di lokap polis bagi tujuan siasatan lanjut dan pendakwaan. Sebab kemungkinan merupakan keperluan perundangan dalam setiap penangkapan. Ia bermaksud terdapat hubungan yang munasabah antara seseorang penjenayah dengan kesalahan jenayah yang dilakukannya.


c) Pendakwaan

Pendakwaan merupakan institusi yang melaksanakan tindakan undang-undang dengan mendakwa tertuduh kerana melakukan kesalahan jenayah. Pendakwa raya akan membuat pendakwaan setelah medapat bukti yang kukuh daripada pihak polis yang menyoal siasat tertuduh dan keterangan daripada saksi.


d) Runding Akuan

Tertuduh diberi peluang untuk membuat runding akuan (plea bargain) iaitu ia bersetuju untuk mengaku bersalah dan sebagai ganjaran hukuman yang yang lebih ringan akan dijatuhkan ke atasnya. Rundingan antara tertuduh dengan pendakwa raya akan dilakukan di kamar hakim. Sebarang keputusan yang dicapai akan dijadikan sebagai asas untuk menjatuhkan hukuman oleh hakim dalam perbicaraan nanti.


e) Perbicaraan

Tertuduh akan dibicarakan di mahkamah. Pendakwa raya akan mengemukakan bukti dan saksi untuk memberi keterangan bagi menguatkan hujah-hujah pendakwaan. Pihak tertuduh mungkin akan memberi keterangan melalui peguam atau tanpa khidmat peguam. Sepanjang perbicaraan tersebut, hakim akan mendengar dan meneliti segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman.


f) Penghukuman

Penghukuman ke atas tertuduh akan dibuat oleh hakim. Sekiranya tertuduh didapati tidak bersalah ia akan dibebaskan tetapi jika didapati bersalah ia mungkin boleh didenda, pengawasan, kehadiran wajib (khidmat masyarakat) atau penjara.


g) Rayuan

Pendakwa raya atau tertuduh yang tidak berpuas hati dengan hukuman dijatuhkan oleh hakim boleh membuat rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi bagi tujuan supaya sesuatu kes itu didengar semula.


h) Hukuman dan Pemulihan

Tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara akan ditahan di sesebuah penjara berdasarkan tempoh masa yang diperintahkan oleh hakim. Ia dikenali sebagai banduan dan semasa dalam penjara ia tidak boleh dibebaskan sehinggalah tamat hukuman. Sepanjang tempoh penahanan ia akan tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang yang ditadbir oleh pihak berkuasa penjara. Dalam masa tersebut ia harus mengikuti semua program pemulihan yang dilaksanakan ke atasnya. Pemulihan bertujuan untuk memastikan banduan yang dibebaskan dari penjara akan dapat berdikari dan tidak mengulangi semula kesalahan jenayah.



Komponen Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah terdiri daripada beberapa agensi atau jabatan  yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab. Pada dasarnya ia mengandungi tiga komponen utama iaitu:




a) Polis

Polis merupakan pihak yang mula-mula berdepan dengan penjenayah dan mangsa jenayah. Tugas dan tanggungjawab polis ialah menjaga keamanan, melindungi masyarakat, mencegah dan mengurangi jenayah. Seseorang yang disyaki melakukan jenayah akan disiasat dan ditangkap oleh polis atau penguatkuasa lain. Penggunaan kekerasan kadangkala terpaksa dilakukan untuk membuat sesuatu tangkapan ke atas penjenayah terutamanya jika didapati ia sangat merbahaya dan boleh mencedera atau mengancam nyawa orang lain. Setelah tngkapan dibuat tertuduh mungkin dilepaskan tanpa sebarang tindakan, dilepaskan dengan jaminan atau ditahan untuk siasatan lanjut. Polis akan merujuk kepada pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan dan keputusan sama ada tertuduh perlu didakwa di mahkamah atau tidak adalah bergantung kepada budi bicara pihak pendakwa raya.


b) Mahkamah



Tertuduh yang diputuskan untuk didakwa akan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan. Hakim akan mendengar dan meneliti semua tuduhan yang dibuat ke atas tertuduh oleh pihak pendakwa.  Keputusan boleh dibuat dengan cepat jika tertuduh mengaku bersalah. Akan tetapi jika tertuduh tidak mengaku salah dan ia menggunakan perkhidmatan peguam bela maka perbicaraan biasanya akan mengambil masa yang lebih lama. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bergantung kepada kategori kesalahan. Bagi kes jenayah berat seperti bunuh, cubaan bunuh, merompak, menyamun atau rogol, lazimnya hakim akan menjatuhkan hukuman penjara yang lebih berat kepada tertuduh. Antara tugas hakim yang paling rumit ialah pada ketika hendak memutus dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Disebabkan oleh perkara tersebut kebanyakan hakim berpegang kepada prinsip iaitu biar 10 orang bersalah dibebaskan berbanding jika seorang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman bersalah. 


c) Penjara

Hanya mahkamah yang boleh menjatuhkan hukuman penjara ke atas seseorang yang dituduh melakukan kesalahan jenayah setelah melalui proses perbicaraan. Tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara dikenali sebagai banduan. Terdapat tiga tujuan utama hukuman penjara iaitu sebagai pembalasan, pengajaran dan pemulihan. Peranan penting yang perlu dilaksanakan oleh pihak penjara ialah menahan, melindungi dan memulihkan banduan. Semasa berada di penjara mereka akan melalui beberapa program sebelum dibebas  atau kembali semula ke pangkuan masyarakat. Antara program tersebut ialah orientasi, pembentukan personaliti, latihan kemahiran dan pemasyarakatan. . Setengah banduan yang cukup syarat seperti terdapat dalam sistem ampun dan parol layak dibebaskan lebih awal.


Rujukan:



--------------------------------------------------------------------------------


JENAYAH

Definisi Jenayah

Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi atau melanggar undang-undang yang wujud di sesuatu tempat atau negara. Konsep jenayah agak berbeza antara sesebuah masyarakat dengan sesebuah masyarakat yang lain terutamanya dari segi perbezaan agama, adat resam, ideologi dan budaya. Misalnya, minum arak merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang di negara Islam dan sebaliknya ia tidak menjadi satu kesalahan jika perbuatan itu dilakukan di negara bukan Islam. Walau bagaimanapun terdapat satu persamaan di seluruh dunia tentang konsep jenayah iaitu semua negara bersetuju bahawa kegiatan-kegiatan seperti mencuri, merompak, merogol, menculik, mengedar dadah dan membunuh merupakan satu jenayah.

Penjenayah merupakan panggilan kepada seseorang yang melakukan jenayah. Contohnya seseorang yang mencuri, merompak, merogol atau membunuh adalah dikategorikan sebagai penjenayah. Kesemua negara di dunia meletakkan harapan yang tinggi dan setengahnya menjadikan agenda utama negara untuk mengurangkan kadar jenayah. Ini kerana salah satu kriteria utama dalam menentukan kemakmuran sesebuah negara ialah kadar jenayah yang rendah.


Jenis-Jenis Jenayah

Jenayah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah berbeza kerana ia banyak dipengaruhi oleh persekitaran sosial, ekonomi dan politik dalam negara tersebut. Pada umumnya jenis-jenis jenayah yang wujud adalah seperti di bawah:

a) Jenayah ke atas manusia seperti membunuh dengan niat atau tanpa niat, mencedera, menyiksa, menyakit, meragut,  mendera, menculik, mencabul dan merogol.

b) Jenayah ke atas harta benda seperti mencuri, menyimpan barang curi, merompak, merosak, menghilang dan melupus.

c) Jenayah ke atas negara seperti mengancam, menyerang, menderhaka, menghasut dan mengkhianati.

d) Jenayah komputer dan internet seperti mengubah atau menghilangkan rekod dan data, mencuri, memalsu, menyerang melalui virus dan cetak rompak.

e) Jenayah harta intelek seperti hakcipta, rekacipta, rekabentuk, paten, simbol, karya muzik, satera dan seni, jenama, imej dan cap dagangan.

f) Jenayah perang seperti menganiayai atau menembak mati tawanan perang, orang awam, pengibar bendera putih, pengusiran orang awam, memusnahkan tanpa asas sesebuah kampung, pekan atau bandar, membinasakan sesuatu keperluan atau kemudahan yang tidak berasaskan kepada keperluan ketenteraan.


g) Jenayah seksual seperti gangguan seksual, cabul, rogol, liwat, zina, sumbang mahram dan homoseks

h) Jenayah kolar putih atau orang berstatus tinggi seperti rasuah, penipuan, penyelewengan, menggelapkan wang, pecah amanah dan pemalsuan dokumen atau identiti.


Jenayah Dalam Islam

Jenayah dalam Islam dikaitkan dengan pelanggaran hukum dan melibatkan dosa. Hukuman yang dikenakan kepada pelanggar hukum lebih kepada penyucian dosa terhadap apa yang ia lakukan. Terdapat tiga jenis jenayah dalam Islam iaitu:

a) Jenayah hudud iaitu pelanggaran hak Allah seperti membunuh, mencuri, merompak, murtad, berzina, menuduh berzina, minum arak dan fitnah.

b) Jenayah qisas iaitu mencedera atau membunuh seseorang.

c) Jenayah takzir iaitu suatu kesalahan yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas dan kesalahan yang mengganggu ketenteraman awam misalnya khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab, mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengambil atau mengedar dadah dan sebagainya.


Sebab-Sebab Berlaku Jenayah

Secara umumnya jenayah berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:

a) Niat dan peluang. Seseorang yang sudah mempunyai niat untuk melakukan jenayah akan bertindak ke arah itu sebaik sahaja ia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

b) Kemiskinan hidup. Seseorang sanggup melakukan jenayah kerana didorong oleh faktor kemiskinan hidup yang mereka hadapi. Mereka terpaksa melakukan jenayah kerana ingin menampung belanja hidup yang lebih tinggi berbanding dengan pendapatan yang diperolehi.

c) Tamak.   Orang  tamak   selalunya tidak bersyukur dengan apa   yang ia   miliki    dan sentiasa mahu memenuhi keinginan yang tidak terbatas walau pun di luar kemampuannya. Ini menyebabkan mereka mudah untuk melakukan jenayah. 

d) Ketagihan. Penagih alkohol atau dadah mudah melakukan jenayah kerana ingin mendapatkan alkohol atau dadah disebabkan harga kedua-dua bahan tersebut adalah tinggi sedangkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membelinya.

e) Kesabaran. Orang yang tidak sabar lebih mudah untuk melakukan jenayah berbanding dengan orang yang sabar. Mereka biasanya muda mengikut perasaan dan tidak berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak.

f) Nafsu. Ada orang dapat mengawal nafsu seks dengan baik tetapi ada juga yang sukar mengawalnya. Golongan yang gagal mengawal lebih mudah untuk melakukan jenayah terutamanya rogol atau gangguan seksual.

g) Pengaruh televisyen dan filem. Mungkin pada mulanya mereka menonton televisyen atau filem sebagai hiburan semata-mata tetapi lama-lama kelamaan timbul minat untuk meniru aksi yang dilihatnya termasuk juga perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti mencuri atau merompak.

h) Kurang pendidikan agama. Bagi mereka yang kurang pendidikan agama dan tidak kuat kepada pegangan agama serta kurang beramal mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk melakukakan jenayah berbanding dengan mereka yang kuat beragama.


Undang-Undang Jenayah

Undang-undang jenayah ialah undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan jenayah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang yang melanggarnya. Ia bertujuan untuk mengawal dan mengurangkan jenayah. Masyarakat tidak dapat menjalani kehidupan yang harmoni sekiranya tidak ada undang-undang yang mengawal jenayah. Selain undang-undang jenayah terdapat juga undang-undang lain di Malaysia seperti undang-undang sivil dan undang-undang syariah (khususnya bagi penduduk Islam). Sumber undang-undang jenayah di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu:

a. Kanun Kesiksaan (Penal Code)

b. Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code)


Cara Mengurangi  Kadar Jenayah

Agak mustahil jenayah dapat dihapuskan tetapi ia boleh dikurangkan. Untuk mengurangkan jenayah memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak seperti masyarakat,  kerajaan, sistem pendidikan, penguatkuasa dan penggunaan  teknologi. Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah ialah:

a) Komitmen ketua negara. Ketua negara seperti perdana menteri atau presiden yang prihatin dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam usaha mengurangi jenayah boleh menyebabkan kadar jenayah berkurang. Ini kerana seluruh jentera dan agensi atau jabatan yang terlibat akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi hasrat ketua negara itu.

b) Kestabilan ekonomi. Perkembangan ekonomi ditentukan oleh kedudukan pendapatan negara, pengangguran, inflasi dan hutang negara. Kadar jenayah akan berkurang jika ekonomi sesebuah negara berkembang dengan baik dan stabil.

c) Penyalahgunaan dadah. Kebanyakan kes jenayah seperti mencuri, menyamun dan merompak mempunyai kaitan yang rapat dengan penyalahgunaan dadah. Pengagih yang menghadapi masalah ketagihan yang serius biasanya sanggup melakukan apa sahaja termasuk jenayah asalkan mereka dapat bahan tersebut. Jenayah boleh berkurang apabila masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dapat dikurangkan.

d) Agensi penguatkuasa. Terdapat pelbagai agensi penguatkuasa seperti polis, kastam, badan anti rasuah, imigresen, penjara dan lain-lain memainkan peranan penting dalam usaha mengurangi kadar jenayah. Kecekapan sesebuah agensi adalah bergantung kepada sumber-sumber yang dimiliki seperti tenaga kerja, kecekapan sistem pengurusan, peruntukan kewangan, latihan dan peralatan teknologi. Semakin berkesan setiap agensi penguatkuasa memainkan peranan masing-masing bererti semakin berkesan pula usaha mengurangi  kadar jenayah.

e) Sistem pendidikan. Menanam kesedaran dan membentuk masyarakat yang harmoni perlu bermula dari sekolah rendah hinggalah di peringkat pusat pengajian tinggi. Ketidakberkesanan dalam sistem pendidikan dalam mencorak anak-anak untuk menjadi warga negara yang berguna boleh menyebabkan kadar jenayah lebih tinggi berlaku. Sistem pendidikan yang digubal dan dilaksanakan hendaklah juga mengambilkira keperluan utnuk mengurangkan kadar jenayah.


Rujukan:

1) http://anelyza.blogspot.com/2014/05/karangan-3-punca-dan-langkah-menangani.html
2) http://keligit97lense.blogspot.com/2011/06/faktor-faktor-peningkatan-kes-jenayah.html

------------------------------------------------------------



MAHKAMAH

Mahkamah merupakan salah satu komponen utama selain polis dan penjara dalam sistem keadilan jenayah. Pihak utama yang terlibat dalam sistem mahkamah ialah hakim, pendakwa, tertuduh, saksi dan peguam bela. Hakim akan membuat keputusan atau penghakiman sama ada tertuduh itu bersalah atau tidak. Jika didapati tidak bersalah, tertuduh akan dilepaskan dan jika didapati bersalah, hakim mungkin akan menjatuhkan hukuman denda, pusat kehadiran wajib atau penjara. Kadar denda atau tempoh hukuman adalah tertakluk kepada bidang kuasa hakim di sesebuah mahkamah. 

Di Malaysia, mahkamah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut: 

a) Mahkamah Atasan 
Mahkamah atasan mengandungi mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi. 



i) Mahkamah Persekutuan 

Mahkamah Persekutuan adalah kategori yang paling tinggi dalam sistem mahkamah di Malaysia. Ia mempunyai kuasa untuk membicarakan mana-mana kes rayuan atau kes sivil yang hukuman telah pun dijatuhkan oleh mahkamah rayuan.

Keanggotaan : 
  • Ketua Hakim Negara 
  • Presiden Mahkamah Rayuan 
  • Hakim-hakim Negara 
  • Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan 

Bidang Kuasa: 
  • Sivil - Sebarang kes rayuan yang tuntutan lebih daripada RM250,000 
  • Jenayah - Sebarang kes rayuan bagi sebarang kesalahan 

Kuasa Eksekutif: 
  • Untuk memulakan perbicaraan bagi kes-kes kesahihan akta daripada parlimen dan enakmen daripada dewan undangan negeri 
  • Kuasa untuk memberi nasihat perundangan kepada YDP- Agong 

Ciri-ciri Perundangan: 
  • Ini merupakan mahkamah rayuan tertinggi 
  • Hanya membicarakan kes-kes rayuan dari mahkamah rayuan 
  • Minimum tiga orang hakim bagi suatu perbicaraan 
  • Boleh membatalkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah 



ii) Mahkamah Rayuan 

Mahkamah rayuan umumnya membicarakan semua kes rayuan sivil terhadap keputusan mahkamah tinggi, kecuali perintah atau keputusan mahkamah yang dibuat melalui persetujuan. Untuk kes-kes yang melibatkan tuntutan melebihi RM10,000.00 keputusan mahkamah atau perintah yang berkait dengan kos sahaja; rayuan yang berkenaan dengan keputusan hakim dalam kamar bicara terhadap saman interplider tentang fakta-fakta yang tidak dipertikaikan; kebenaran mahkamah rayuan harus diperoleh lebih dahulu. Mahkamah rayuan juga membicarakan rayuan-rayuan keputusan kes jenayah mahkamah tinggi.

Keanggotaan: 
  • Presiden Mahkamah Rayuan 
  • Hakim - hakim mahkamah rayuan 

Bidang Kuasa: 
  • Sivil - Kes-kes rayuan yang nilai tuntutan melebihi RM 250,000.00 
  • Jenayah - Semua kes 

Ciri-ciri Perundangan: 
  • Tidak mempunyai bidang kuasa asal (tidak boleh memulakan perbicaraan bagi sesuatu kes) 
  • Kesemua kes untuk dibicarakan adalah kes yang dirayu dari mahkamah tinggi 
  • Mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan mahkamah tinggi 



iii) Mahkamah Tinggi 

Mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa penyeliaan dan pengubahan keputusan semua mahkamah bawahan, serta juga bidang kuasa untuk membicarakan semua rayuan daripada bahkamah bawahan, baik kes sivil mahupun kes jenayah. Mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa sivil yang tidak terhad, dan umumnya membicarakan kes-kes yang tuntutannya melebihi RM1,000.00, selain daripada kes-kes yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor, penderitaan, dan pertikaian antara tuan rumah dan penyewa. 


Mahkamah ini juga membicarakan kes-kes yang berkait dengan: kesahan atau pembubaran perkahwinan (perceraian) dan perkara-perkara suami isteri; kemuflisan dan perkara-perkara berkait dengan penggulungan syarikat; penjagaan kanak-kanak; pemberian kenyataan sah wasiat, wasiat, dan surat kuasa mentadbir estet; injunksi, pelaksanaan tertentu (specific performance), atau pembatalan kontrak; kesahan individu. 

Mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad terhadap semua kes jenayah selain daripada perkara-perkara yang melibatkan undang-undang Islam. Kes-kes dibicarakan oleh seorang hakim yang tunggal dalam mahkamah tinggi, atau oleh seorang pesuruhjaya kehakiman. Sedangkan hakim-hakim mahkamah tinggi diberikan perlindungan jawatan (sila lihat Krisis Perlembagaan Malaysia 1988), para pesuruhjaya kehakiman dilantik untuk penggal dua tahun dan tidak menerima perlindungan yang sama di bawah Perlembagaan.

Keanggotaan:
  • Hakim Besar 
  • Hakim-hakim mahkamah tinggi 
  • Pesuruhjaya kehakiman ( orang-orang yang mempunyai kelayakan sama seperti hakim tetapi perlantikan bersifat sementara 


Bidang kuasa:
  • Sivil - Tuntutan nilai mesti lebih dari RM 10000 
  • Jenayah - Sebarang kes 


Eksekutif: 
  • Membicarakan kes-kes yang melibatkan hukuman mati 
  • Membicarakan sebarang kes yang terletak diluar bidang kuasa mahkamah² rendah. 
  • Kesalahan warganegara dan bukan warganegara diatas kapal terbang yang didaftarkan di Malaysia 
  • Kesalahan warganegara dan bukan warganegara di ruang udara atau perairan Malaysia 


Ciri-ciri perundangan: 
  • Mahkamah tinggi mempunyai kuasa untuk membicarakan kes-kes rayuan dari empat mahkamah iaitu mahkamah sesyen, mahkamah majistret, mahkamah persekutuan dan mahkamah juvenil 
  • Boleh memberi nasihat dan menyemak rekod-rekod mahkamah rendah 
  • Boleh membatalkan keputusan mahkamah-mahkamah rendah 
  • Hakim mahkamah tinggi Sabah dan Sarawak akan menjadi hakim dalam mahkamah bumiputera 
  • Boleh mengeluarkan injunksi 



(to be continued later...) 


Rujukan: 






-----------------------------------------------------------


PENJARA


Penjara merupakan tempat menahan seseorang yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan jenayah atau seseorang yang sedang menunggu untuk perbicaraan.

A building to which people are legally committed as a punishment for a crime or while awaiting trial.(Oxford Dictionary).


------------------------------------------------------



PENJARA DAN MASYARAKAT

Sistem pesalah dikurung atau dipenjarakan di Malaysia dipercayai sudah wujud semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) tetapi belum ada dokumen yang ditemui untuk dijadikan sebagai bahan rujukan bagi memberi gambaran sebenar tentang sistemnya pada ketika itu. 

Sejarah penjara moden bermula dengan terbinanya Penjara Pulau Pinang pada tahun 1849 oleh pihak British yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu. Pada tahun 1879, Penjara Taiping dibina dan merupakan penjara yang kedua tertua di Tanah Melayu. Penjara Taiping dijadikan sebagai pusat yang menempatkan para banduan hukuman lama dari negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kempat-empat negeri tersebut adalah di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Semasa pemerintahan Jepun (1941-1945), institusi penjara juga dijadikan sebagai tempat menahan tawanan perang. Dalam tempoh peperangan itu kesemua dokumen dan rekod berkaitan dengan pengurusan banduan telah musnah.




Penjara Pudu


Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Ibu Pejabat Penjara Tanah Melayu ditubuhkan bertujuan mentadbir keseluruhan penjara di seluruh Tanah Melayu. Pada tahun 1952, Ordinan Penjara digubal dan diikuti dengan Peraturan Penjara pada tahun 1953. Tahun 1957, merupakan tahun kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Pesuruh Jaya Penjara yang pertama telah dilantik untuk mengendalikan pentadbiran semua penjara di Persekutuan Tanah Melayu. 

Apabila berlakunya pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Jabatan Penjara Tanah Melayu digantikan dengan nama Jabatan Penjara Malaysia merangkumi pentadbiran penjara bagi Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Pada 2 November 1995, Akta Penjara 1995 dikuatkuasakan bagi menggantikan Ordinan Penjara 1952 dan pada 1 September 2000, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dikuatkuasakan bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Penjara 1953.

Penjara merupakan satu tempat penahanan yang ditakuti oleh masyarakat kerana ia merupakan tempat mengurung orang-orang yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah. Ia dikelilingi oleh tembok dan pagar yang tinggi. Penghuni yang berada di situ dikenali sebagai banduan. Mereka tidak boleh keluar dari penjara selagi tarikh pembebasan belum sampai waktunya. Pergerakan mereka sangat terbatas dan mereka dikawal pada setiap masa. Sakit atau demam yang mereka alami tidak lagi dapat ditemani oleh keluarga tersayang untuk merawat dan memberi ubat. Komunikasi dengan keluarga terbatas. Setiap waktu mereka menghitung hari menunggu saat pembebasan walaupun mereka bukannya didera tetapi disebabkan oleh faktor kebebasan.

Akan tetapi kenapakah masih terdapat segelintir kecil banduan yang dibebaskan dari penjara masih melakukan jenayah sehingga akhirnya mereka kembali semula ke penjara. Perkara ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, akibat kelemahan dan sikap banduan itu sendiri yang masih tidak mahu insaf atau berubah. Kedua, keluarga enggan menerimanya kembali kerana malu dengan status anak mereka sebagai bekas banduan. Ketiga, pengaruh rakan-rakan. Pada mulanya ia berazam untuk berubah tetapi akhirnya terpaksa beralah kerana kuatnya pengaruh dan desakan rakan-rakan sekeliling. Keempat, setengah daripada majikan tidak mahu mengambil bekas banduan untuk bekerja dengan mereka. Kelima,  masyarakat memandang negatif kepada bekas banduan. Keenam, desakan kos hidup yang tinggi dan tidak mahu berdikari. 

Berdasarkan faktor di atas, akhirnya mereka melakukan kesalahan jenayah dan dihukum penjara. Kedatangan mereka pada kali kedua atau beberapa kali tetap diterima oleh pihak berkuasa penjara disebabkan mereka adalah tetamu yang tidak undang.

Walaupun ramai masyarakat melihat penjara sebagai satu tempat yang menakutkan dan kalau boleh mereka tidak inginkan penjara itu wujud atau berada di kawasan mereka namun mereka memerlukan penjara. Ini kerana penjara merupakan tempat yang mengasingkan penjenayah-penjenayah yang melakukan pelbagai kesalahan seperti mencuri, merompak, merogol, mengedar dan menyalahguna dadah, kongsi gelap, samseng jalanan, ragut dan sebagainya. Akibatnya masyarakat merasa kehidupan mereka lebih selamat dan dilindungi dengan adanya penjara. 

Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak berkuasa penjara supaya banduan yang berada di dalam penjara dijaga dengan selamat dan dapat diberi bimbingan dan pemulihan yang berkesan serta dapat berdikari apabila dibebaskan.


Pentadbiran penjara harus memainkan peranan yang lebih berkesan bagi memenuhi harapan masyarakat walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan masalah seperti kesesakan dan kekurangan kakitangan.  

Kesimpulannya, penjara berperanan memberi perlindungan kepada masyarakat dengan menyediakan penahanan yang selamat dan melaksanakan program pemulihan yang berkesan ke atas pesalah atau banduan.

Biodata

Wan Mohamad Nazarie bin Wan Mahmood dilahirkan pada 6 Ogos 1959 di Kota Bharu, Kelantan. Memiliki bacelor ekonomi drp Universiti Malaya pada tahun 1984.

Bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Muar, Norsina Panot pada tahun 1981 dan memperolehi lima orang anak iaitu Wan Nur Fazni (USIM), Wan Fahmi (University of Edinburgh), Wan Farhan (Bisnes), Wan Fadhlin Sakina (SMS Ulu Selangor) dan Wan Fakhruddin Atiqi (Darjah 1).

Mula berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Jabatan Penjara sebagai Timbalan Penguasa Penjara pada tahun 1.8.1985.

(21 May 2014: Latest updated)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails