27 Ogos 2011

PERIHAL FITNAH

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

FITNAH

Rencana Cetak . Emel Rakan .
Fitnah beri kesan negatif, kongkong jiwa merdeka
Oleh Sapora Sipon

2011/08/27

DALAM negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54, satu bentuk amalan yang semakin kuat dijajah adalah penyakit suka memfitnah. Budaya memfitnah termasuk di alam maya seperti blog semakin menjadi tidak terkawal dan jika dibiarkan berterusan, banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat akan berlaku.

Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu (2002), fitnah dapat diertikan sebagai tuduhan jahat yang diada-adakan atau yang dibuat. Ia juga dapat diertikan sebagai umpatan, gunjing ataupun celaan dan pesona. Manakala memfitnah diertikan sebagai memburuk-burukkan orang lain di belakang.


Budaya fitnah walaupun berlaku di mana-mana, tetapi lebih signifikan dalam budaya politik. Ini tidak menghairankan kerana senario fitnah memfitnah bukan saja berlaku di negara ini. Musuh-musuh bekas Presiden hebat Amerika Syarikat, Abraham Lincoln menyebarkan berita liar mengenai karakter dan juga kehidupan peribadinya. Apa yang paling membimbangkan ialah budaya fitnah memfitnah dalam politik negara berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan sehingga menzahirkan rasa muak rakyat jelata.


Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Fitnah berlaku akibat pelbagai faktor. Di dalam politik, antara punca berlaku fitnah ialah kerana perbezaan fahaman sehingga pemimpin difitnah dengan perkara yang tidak sepatutnya. Selain itu pemimpin difitnah untuk pembunuhan karakter. Pembunuhan karakter adalah usaha untuk mencemar nama baik atau reputasi seseorang.

Budaya fitnah untuk merosakkan nama baik seseorang dilakukan melalui pernyataan yang tidak benar, melebih-lebihkan atau manipulasi fakta dengan bertujuan untuk memberikan satu persepsi atau citra yang tidak benar tentang orang yang difitnah. Pembunuhan karakter mengakibatkan reputasi mangsa menjadi rusuk di mata awam.

Menabur fitnah juga adalah satu perang psikologi ke atas lawan. Serangan ke atas karakter atau pemikiran secara berterusan, tersusun dan terancang dengan baik yang dilakukan boleh saja membinasakan masa hadapan mangsa. Budaya fitnah bertambah liar apabila tempoh pilihan raya semakin dekat.

Akibat fitnah bukan calang-calang bahayanya. Ia membawa banyak kemudaratan yang merosakkan masyarakat. Selalunya, fitnah dirancang kerana wujud sifat hasad dan dengki, atau sifat kemarahan yang membuak-buak kerana tujuan tertentu. Kesan yang lebih buruk akan membawa kepada sikap tidak percaya dan kepercayaan yang tidak benar mengenai sesuatu isu atau individu.


Kesan fitnah terhadap masyarakat boleh meruntuhkan institusi sosial. Dalam konteks bangsa, sentimen perkauman boleh timbul dan menyebabkan huru-hara serta kadangkala boleh berlaku peperangan.

Keadaan ini boleh membantutkan sebarang usaha positif ke arah perdamaian. Sentimen ragu-meragui antara satu sama lain juga boleh timbul walaupun setelah berlaku perdamaian. Fitnah membawa kesan negatif sehingga boleh menumpahkan darah.

Tentunya amat bermakna sekali jika setiap individu dapat memerdekakan diri daripada sikap suka memfitnah. Ini kerana amalan fitnah membawa kehancuran dan malapetaka kepada keharmonian negara. Dalam konteks negara Malaysia yang aman makmur, pelakuan fitnah tidak boleh dijadikan satu amalan atas nama perpaduan, kebenaran dan keadilan. Budaya fitnah memfitnah benar-benar mengongkong jiwa merdeka.

Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

(BERITA HARIAN 27/08/11)

HADIAH ATAU SUMBANGAN

Jangan beri hamper sebagai rasuah - SPRM

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan rakyat di negara ini agar tidak terlibat dalam pemberian atau penerimaan hamper untuk tujuan rasuah, khususnya ketika musim perayaan sekarang.

Kecenderungan untuk memberi atau menerima hadiah seperti hamper sering terjadi atas alasan pemberian kepada sahabat atau kenalan.

Menurut kenyataan SPRM, meskipun pemberian hadiah itu hanya bertujuan mengeratkan persahabatan, penjawat awam perlu akur kepada peraturan sedia ada mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998.

"Pegawai-pegawai perkhidmatan awam dinasihatkan agar tidak menerima sebarang hadiah yang berunsur rasuah atau diketahui diberi secara rasuah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perkara berkaitan dengan urusan rasmi.

"Mana-mana orang yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan dengan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009," kata kenyataan itu.

(UTUSAN MALAYSIA)

26 Ogos 2011

KASIH, SAYANG, CINTA DAN BENCI

Kasih, sayang, cinta dan benci merupakan sifat-sifat yang sudah tertanam dalam diri seseorang. Mula-mula kenal seseorang rasa berkenan melalui jeling menjeling dan pandang memandang. Salah seorang akan memberi senyuman dan seterusnya berlaku sapa menyapa. Lantas nombor telefon diminta dan disimpan. Kemudian dibubungi untuk sesi perkenalan. Sekali sekala keluar makan dan jalan-jalan. Hubungan menjadi makin akrab.

Lama kelamaan timbul perasaan kasih antara satu sama lain. Masing-masing perasaan sudah mula mahu menjaga hati orang yang mereka kasihi. Tanpa perasaan kasih agak sukar seseorang itu mahu menjaga dan mengambil hati orang yang ia kasihi.

Bila kasih sudah tertanam timbul pula perasaan sayang. Perasaan sayang akan menutupi setiap perlakuan kurang baik yang dilihatnya kerana hatinya sudah terpengaruh oleh perasaan sayang tersebut. Jika ada orang kata temannya tidak bagus, ia akan menafikan dengan segera walaupun ada kebenarannya.

Sayang sudah, kasih pun sudah lama-lama jatuh cinta pula. Ia sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Kadang terlupa orang itu sudah berumur, berumahtangga, janda, duda, lebih muda, gemuk, kurus, jelek, mata keranjang atau penipu. Cinta itu buta katakan. Kadang sanggup habiskan tenaga, masa dan harta kerana cinta. Sanggup mati kerana cinta pun ada, masya Allah. Setengahnya pula sanggup putuskan hubungan keluarga demi cinta.

Percintaan tak selalu menyenangkan pasangan. Kalau kedua pihak sentiasa menghormati antara satu sama lain dan setia, tak adalah isu tapi pabila salah satu mempunyai beberapa teman yang lain lantas dapat diketahui oleh temannya maka timbul perasaan marah dan benci. Kalau boleh mahu dipenyet-penyet temannya itu. Benci yang meluap ini bukanlah benci pada tubuh badan teman itu tetapi benci kepada perbuatannya. Benci ini timbul kerana ia merasakan dirinya sudah tidak lagi dikasihi, disayangi dan dicintai!

20 Ogos 2011

MUTIARA KATA

Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji.

Mahkota kemanusiaan ialah rendah hati.

Musibah dalam harta lebih ringan daripada musibah dalam kehormatan.

Jangan sesekali menyalahkan kesilapan diri sendiri kepada orang lain kerana orang yang tidak mengakui kelemahan diri sukar untuk berjaya.

Sesetengah orang menggunakan jam yang murah. Jam seperti ini tidak boleh diharap.

Orang yang meminta-minta kepada Tuhan tidak akan kecewa.

Harta tidak akan berkurang kerana sedekah dan melakukan amal

Barangsiapa memusuhi orang yang di bawahnya, hilang kewibawaannya.

Yang memimpin wanita bukan akalnya, melainkan hatinya.

Kecemerlangan sebenar adalah apabila anda dihentam sehingga bertekuk lutut, tetapi mampu melantun kembali.

Rahsia untuk berjaya ialah menghormati orang lain.

Amat mudah untuk memadamkan api yang sedang marak, tetapi sukar untuk meredakan api kemarahan dalam diri.

Emas diuji dengan api, wanita diuji dengan emas dan lelaki diuji dengan wanita.

Orang yang berbohong itu sentiasa ingin melarikan diri sedangkan tiada seorang pun yang mengejarnya namun orang yang benar itu berani seperti singa -Goethe

Kemarahan tidak boleh berumur panjang di dada seorang yang berhati baik, kebaikan tidak boleh berakar di hati seseorang yang berdasar buruk

Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan.


Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang hanya kerana kepandaiannya berkata-kata tetapi juga perlu dinilai buah fikiran serta tingkah lakunya.

Barangsiapa menyebarluaskan berita-berita kekejian yang didengarnya, maka dia seperti pelakunya.

Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan kepada usaha yang besar.

Lebih baik tidur dengan perut yang lapar daripada bangun tidur dengan banyak hutang -Anonim.


Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka ialah jahil.

Apabila bicara itu perak, diam adalah emas.


Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki hal-hal terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya.

Fikirkan permusuhan kita akan dimusuhi, fikirkan kebencian, kita akan dibenci. Tetapi sekiranya kita fikirkan kasih maka kita akan dikasihi. Ini adalah undang-undang alam. Kita menjadi seperti apa yang kita fikirkan.

Dalam kepala kaum wanita ada kekurangan, tetapi dalam hati mereka ada kelebihan.

Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. – Peribahasa Arab

Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong.

Menyimpang seinci, rugi seribu batu. – Peribahasa Cina

Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya.

Sebuah kebenaran kadangkala mengandungi kesilapan.

Orang yang paling mampu menguasai dirinya ialah yang paling mampu menguasai rahsianya.

Adalah tidak mustahil orang yang paling kita benci sekarang adalah kawan karib kita suatu waktu dahulu.

Menyesal tidak berbicara lebih baik daripada menyesal berbicara.

7 Ogos 2011

Tok Wan Noh Senyum Sokmo

Sokmo merupakan dialek Kelantan yang bererti sentiasa atau selalu. Tok Wan Noh senyum sokmo  bererti Tok Wan Noh Senyum selalu. Nama sebenar Tok Wan Noh ialah Wan Maimunah. Beliau tinggal di Pulau Panjang, Kota Bharu, Kelantan. Tok Wan Noh menjadi sangat terkenal di kalangan penduduk yang berhampiran dengan Pulau Panjang seperti Pulau Pisang, Kedai Buloh, Kuala Besar dan Pantai Pulau Kundur bukanlah kerana beliau seorang wanita yang kaya atau orang kenamaan tetapi disebabkan umurnya panjang dan fizikalnya yang bongkok sehingga mencecah lutut. Beliau berkahwin dengan Tok Penggawa (Penghulu) Wan Ahmad tetapi jodohnya tidak panjang kerana Wan Ahmad meninggal dunia tidak lama selepas beberapa tahun mendirikan rumahtangga. Walaupun tidak mempunyai anak tetapi Tok Wan Noh telah menjaga lima orang anak saudaranya Wan Som, Wan Zainab, Wan Mahmood dan Wan Abdullah sehinggalah masing-masing mampu berdikari. Kesemua anak saudaranya tidak lagi menganggap Tok Wan Noh sebagai emak saudara mereka tetapi mengaggapnya seperti ibu kandung sendiri kerana secara kebetulannya ibu kandung Wan Fatimah meninggal dunia ketika mereka masih kecil.  

Tok Wan Noh sangat disenangi dan disayangi oleh semua anak, cucu dan cicitnya. Pemergiannya pada tahun 1992 pada usia 120 tahun amat dirasai bukan sahaja oleh keluarganya bahkan juga penduduk yang berhampiran. "Payahlah nak cari orang yang baik macam Tok Wan Noh. Tak pernah nampak dia masam muka. Tak pernah dengar dia ada musuh. Baginya semua orang adalah baik. Tak pernah dengar Tok Wan Noh mengeji atau memburukkan sesiapa. Kalu jumpa orang mesti senyum. Sebab tu agaknya Tuhan bagi umur dia panjang," kata Che Hasmah, isteri kepada Wan Mahmood ketika mencerita kisah lama kepada anak-anaknya di satu majlis jamuan Hari Raya Aidil Fitri di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu.

Oleh itu, senyumlah sokmo agar kita sentiasa disenangi oleh orang ramai dan di samping itu kemungkinan juga umur kita dipanjangkan oleh Allah swt. 

6 Ogos 2011

Mat Jusoh Menyekat Serangan Tebuan

Pada awal tahun 2011, tiga orang budak nakal melastik sarang tebuan yang berada di sebatang pokok berhampiran sekolah tadika di Wakaf Mek Zainab Kota Bharu Kelantan. Bak kata orang tua sarang tebuan jangan diusik kerana buruk padahnya. Sebaik sahaja batu yang dilastikkan itu mengena tepat pada sarang maka ribuan ekor menyerang sesiapa sahaja yang berada di situ dan kebetulannya tiga orang kanak-kanak tadika yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah menjadi mangsa serangan itu. Tiga orang pelastik pula sempat melepaskan diri dari menjadi mangsa serangan tersebut kerana kedudukan mereka agak jauh daripada sarang itu. Ketika dalam keadaan kelam kabut itu beberapa orang yang nampak kejadian itu cuba datang untuk menyelamatkan kanak-kanak itu tetapi gagal kerana mereka pula diserang oleh beberapa ekor tebuan.

Allah Maha kaya, secara kebetulan Mat Jusoh atau Pok Soh sedang mengayuh basikal untuk pulang ke rumahnya dengan pantas meluru ke arah tiga kanak-kanak itu dan terus membuang ribuan ekor yang berada di seluruh badan mereka. Ketika Pok Soh sedang meyelamatkan kanak-kanak itu tiba-tiba datang sekumpulan tebuan menyerang ke arahnya tetapi mereka berpatah balik ke sarang akibat tenungan tajam Pok Soh terhadap tebuan itu. Orang ramai yang menyaksi kejadian itu terpegun dan sangat hairan dengan apa yang berlaku di depan mata mereka. Ketiga-tiga kanak itu dihantar ke hospital termasuk beberapa orang yang cuba membantu mereka. Semasa di hospital, seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia dan yang lain-lain dimasukkan ke wad. 

Pok Soh dan anak sepupunya Wan Sidik (4/8/11)

Che Hasmah, Wan Sidik, Pok Soh dan Wan Asiah

Siapakah Pok Soh itu? Pada keesokan hari media termasuk TV3 mula membuat interviu dengan Pok Soh untuk mengetahui apakah rahsia yang dimiliki olehnya sehingga tidak seekor tebuan pun menyerang dan menyengatnya. Ketika ditanya, Pok Soh menjawab, "Saya tak ada pakai apa-apa. Mungkin Allah tolong saya kerana saya sentiasa suka tolong orang. Kalu ada orang mati, saya akan tolong menggalikan liang. Saya ni tak ada duit tapi saya akan bantu orang susah setakat yang saya mampu tak kiralah dari segi duit atau tenaga." Pok Soh memiliki suara yang sangat kuat walau pun ia bercakap perlahan. "Ni saya nak nasihat pada orang muda. Kamu selalu kena tolong orang lain. Jangan sekali-kali kamu buat aniayai kepada orang lain. Insya Allah kalu kita amal dan buat macam ni sokmo, nescaya Allah akan tolong kita." Sambung Pok Soh kepada beberapa orang yang membuat pertanyaan kepadanya.

Oleh itu kita hendaklah sentiasa menolong orang lain dan jangan sekali menganiayai mereka insya Allah hidup kita akan mendapat keberkatan dan kerahmatan. 

2 Ogos 2011

SEMANGAT TASIK SENDAYAN PENJARA PENOR

Tasik Sendayan Penjara Penor pada asalnya merupakan kawasan yang berpaya. Ia mula diusahakan pada tahun 1994 oleh kakitangan dan banduan Penjara Penor. Pada mulanya dijangkakan sangat mustahil untuk merubah sebuah kawasan yang dipenuhi dengan pokok dan belukar serta  airnya berwarna hitam pekat yang berbau agak busuk tetapi dengan semangat kerjasama tinggi antara kakitangan dan banduan Penjara Penor akhirnya sebuah tasik yang indah bernama Tasik Sendayan berjaya dibina. Ia mempunyai keluasan kira-kira dua buah padang bolasepak.


Staf Penjara Penor sedang membersihkan kawasan
 paya untuk menjadikan Tasik Sendayan 1994-1997










Biodata

Wan Mohamad Nazarie bin Wan Mahmood dilahirkan pada 6 Ogos 1959 di Kota Bharu, Kelantan. Memiliki bacelor ekonomi drp Universiti Malaya pada tahun 1984.

Bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Muar, Norsina Panot pada tahun 1981 dan memperolehi lima orang anak iaitu Wan Nur Fazni (USIM), Wan Fahmi (University of Edinburgh), Wan Farhan (Bisnes), Wan Fadhlin Sakina (SMS Ulu Selangor) dan Wan Fakhruddin Atiqi (Darjah 1).

Mula berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Jabatan Penjara sebagai Timbalan Penguasa Penjara pada tahun 1.8.1985.

(21 May 2014: Latest updated)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails