7 Ogos 2011

Tok Wan Noh Senyum Sokmo

Sokmo merupakan dialek Kelantan yang bererti sentiasa atau selalu. Tok Wan Noh senyum sokmo  bererti Tok Wan Noh Senyum selalu. Nama sebenar Tok Wan Noh ialah Wan Maimunah. Beliau tinggal di Pulau Panjang, Kota Bharu, Kelantan. Tok Wan Noh menjadi sangat terkenal di kalangan penduduk yang berhampiran dengan Pulau Panjang seperti Pulau Pisang, Kedai Buloh, Kuala Besar dan Pantai Pulau Kundur bukanlah kerana beliau seorang wanita yang kaya atau orang kenamaan tetapi disebabkan umurnya panjang dan fizikalnya yang bongkok sehingga mencecah lutut. Beliau berkahwin dengan Tok Penggawa (Penghulu) Wan Ahmad tetapi jodohnya tidak panjang kerana Wan Ahmad meninggal dunia tidak lama selepas beberapa tahun mendirikan rumahtangga. Walaupun tidak mempunyai anak tetapi Tok Wan Noh telah menjaga lima orang anak saudaranya Wan Som, Wan Zainab, Wan Mahmood dan Wan Abdullah sehinggalah masing-masing mampu berdikari. Kesemua anak saudaranya tidak lagi menganggap Tok Wan Noh sebagai emak saudara mereka tetapi mengaggapnya seperti ibu kandung sendiri kerana secara kebetulannya ibu kandung Wan Fatimah meninggal dunia ketika mereka masih kecil.  

Tok Wan Noh sangat disenangi dan disayangi oleh semua anak, cucu dan cicitnya. Pemergiannya pada tahun 1992 pada usia 120 tahun amat dirasai bukan sahaja oleh keluarganya bahkan juga penduduk yang berhampiran. "Payahlah nak cari orang yang baik macam Tok Wan Noh. Tak pernah nampak dia masam muka. Tak pernah dengar dia ada musuh. Baginya semua orang adalah baik. Tak pernah dengar Tok Wan Noh mengeji atau memburukkan sesiapa. Kalu jumpa orang mesti senyum. Sebab tu agaknya Tuhan bagi umur dia panjang," kata Che Hasmah, isteri kepada Wan Mahmood ketika mencerita kisah lama kepada anak-anaknya di satu majlis jamuan Hari Raya Aidil Fitri di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu.

Oleh itu, senyumlah sokmo agar kita sentiasa disenangi oleh orang ramai dan di samping itu kemungkinan juga umur kita dipanjangkan oleh Allah swt. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Biodata

Wan Mohamad Nazarie bin Wan Mahmood dilahirkan pada 6 Ogos 1959 di Kota Bharu, Kelantan. Memiliki bacelor ekonomi drp Universiti Malaya pada tahun 1984.

Bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Muar, Norsina Panot pada tahun 1981 dan memperolehi lima orang anak iaitu Wan Nur Fazni (USIM), Wan Fahmi (University of Edinburgh), Wan Farhan (Bisnes), Wan Fadhlin Sakina (SMS Ulu Selangor) dan Wan Fakhruddin Atiqi (Darjah 1).

Mula berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Jabatan Penjara sebagai Timbalan Penguasa Penjara pada tahun 1.8.1985.

(21 May 2014: Latest updated)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails