24 Oktober 2011

YUE YUE

Seorang pengutip sampah perempuan di Foshan, China, pada 13 Oktober 2011 ketika sedang berjalan di sebuah jalan raya telah ternampak seorang kanak-kanak perempuan, Yue Yue, berumur dua tahun sedang terbaring berlumuran dengan darah akibat dilanggar dan digilis sebanyak dua kali oleh dua buah van. Ia terus mengangkat Yue Yue dan sejurus kemudian diambil oleh emaknya untuk dibawa ke hospital.

Setelah beberapa hari tinggal di hospital akhirnya Yue Yue meninggal dunia akibat beberapa organnya tidak dapat berfungsi. Kejadian menyayat hati itu dirakam melalui CCTV dan disalurkan menerusi Twitter dan Facebook.

Apa yang menarik perhatian masyarakat dunia ialah tentang sikap yang ditunjukkan oleh pengutip sampah yang tidak membiarkan Yue Yue daripada hancur digilis oleh kenderaan yang lain pula. Sebelum Yue Yue diangkat terdapat 18 orang yang lalu di situ dan melihat Yue Yue tetapi tidak seorang pun yang sanggup mengangkatnya kecuali pengutip sampah yang merupakan orang yang ke-19.

Yue Yue sedang diangkat oleh pengutip sampah

Pengutip sampah bukanlah orang yang berada dan berkedudukan. Hidupnya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tiada anak-anak kecil yang bercita-cita mahu menjadi pengutip sampah apabila besar nanti. Akan tetapi walau pun dia miskin namun hatinya tetap kaya dan mulia. Allah tidak sekali memandang seseorang kerana kedudukan atau harta kekayaan yang ia miliki tetapi ia dinilai kerana sikapnya  yang berperi kemanusiaan, kasih sayang, bantu membantu, bertaqwa dan beriman.


15 Oktober 2011

NASIHAT UNTUK THE RED WARRIORS

Pada 14 Oktober 2011 bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pasukan The Red Warriors Kelantan kalah secara agregat 3-5 kepada pasukan Terengganu dalam peringkat suku akhir Piala Malaysia 2011.

Saya ingin menasihatkan kepada kepada KAFA jika ingin terus melihat pasukan Kelantan maju jaya pada masa depan hendaklah memastikan semua pemain bermain secara profesional bukan lagi emosional dan perlu bijak dalam melihat percaturan pihak lawan.

Sejarah telah mengajar anda bagaimana sebelum tahun 2008, pasukan Kelantan sudah tiada lagi di hati peminat Kelantan kerana setiap kali ingin melangkah ke peringkat yang lebih jauh seperti separuh akhir atau akhir kita dapati ramai pemain bermain dengan emosi atau mungkin pada mulanya mereka tenang tetapi setelah digeletek atau diprovokasi oleh pemain lawan maka terus melenting sehingga seolah-olahnya mereka berada di medan perang bukan lagi di atas padang bola sepak yang memerlukan ketenangan dan ketangkasan dalam setiap perlawanan.

Walaupun kita tidak boleh membandingkan dengan pasukan kelab Eropah seperti Manchester United atau Bayern Munich tetapi anda sepatutnya meniru sikap profesinal pemain mereka. Kalau setakat dijatuhkan walaupun agak kuat oleh pemain lawan namun mereka cuma ketawa atau senyum sahaja dan mereka jarang hendak membalas dendam.

Itulah yang menyeronokkan penonton. Penonton bukan mahu melihat kekasaran, pergaduhan atau pemain dibuang padang tetapi ingin melihat satu corak permainan yang cantik, bersih, bersemangat, kesungguhan, profesional dan menghiburkan walaupun kalah tidaklah menjadi kekecewaan sangat.

Akan tetapi jika anda terus bermain secara emosi dan mudah diprovokasi maka lama kelamaan anda akan kehilangan ramai peminat dan akhirnya pasukan The Red Warriors akan kembali merudum seperti sebelum tahun 2008.

Mudah-mudahan pandangan dan nasihat ini boleh dijadikan salah satu daripada beberapa maklum balas kepada pihak KAFA untuk terus mengekalkan populariti pasukan Kelantan seperti sekarang ini. Jangan putus asa, terus berusaha dengan lebih profesional dengan memperbaiki segala kelemahan bagi mencipta kejuaraan pada tahun depan.  Buatlah penambahbaikan secara berterusan agar The Red Warriors menjadi pasukan gergasi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia.

12 Oktober 2011

PENILAIAN UM BERBEZA


Jangan Taksub Kejar Ranking Universiti

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berharap agar tiada sebarang stigma negatif dilemparkan oleh pihak tertentu berhubung kriteria yang diguna pakai oleh penganjur dalam menentukan ranking universiti terbaik dunia.

Menurut beliau, kegagalan Universiti Malaya (UM) tersenarai dalam Times Higher Education (THE) sedangkan dalam masa yang sama tersenarai di kedudukan ke-167 QS World University Ranking 2011/2012 jelas menunjukkan terdapat perbezaan dalam penilaian.

“Hakikatnya, ranking tidak mencerminkan sepenuhnya kedudukan sesebuah universiti. Sebagaimana yang diingatkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 11 September lalu, universiti tidak sepatutnya terlalu taksub mengejar ranking, sebaliknya berusaha memenuhi sasaran penubuhannya dengan menumpukan perhatian kepada keperluan pelajar, rakyat dan kerajaan.

“Universiti-universiti yang menduduki tangga teratas ranking sangat jauh ke hadapan. Bukan sahaja dari aspek umur yang dikaitkan dengan pengalaman dan kematangan, tetapi juga aspek peruntukan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dari sudut umur, beliau mempersoalkan bagaimana UM yang hanya sekitar 100 tahun dapat dibandingkan dengan universiti seperti Harvard yang berusia 375 tahun, Oxford (915 tahun), Cambridge (1,136 tahun), Caltech (120 tahun) dan Universiti Tokyo yang kini berusia 135 tahun.

“Kalau UM memerlukan RM0.5 bilion untuk membuat penyelidikan berimpak tinggi, bandingkan amaun itu dengan Harvard yang mempunyai tabung sebanyak RM30 bilion hingga RM40 bilion untuk tujuan yang serupa,” katanya.

Dalam pada itu itu, kata beliau, Unimap berbangga dengan penyenaraian tujuh universiti tempatan termasuk UM di antara 500 kelompok terbaik daripada 30,000 universiti seluruh dunia dalam QS World University Ranking.

Ini katanya, menambah azam Unimap dalam merangka pelbagai strategi agar turut tersenarai dalam kelompok tersebut pada masa akan datang.

“Bagi pengukuran kriteria dalam bidang penyelidikan, Unimap telah memperkasa agenda penyelidikan berimpak yang dicerminkan melalui penjanaan penerbitan. Merujuk pangkalan data Scopus, jumlah terkini penerbitan Unimap adalah sebanyak 969,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, Unimap menyedari terdapat cabaran tertentu dalam menempa tempat di kalangan 500 universiti terbaik dunia yang mana pada tahun-tahun sebelumnya menggunakan pangkalan data ISI Web of Science.

(Sumber: Utusan Malaysia 12 Oktober 2011)

Begitulah juga penilaian yang dilakukan ke atas seseorang, organisasi, masyarakat dan negara adalah berbeza kerana alat atau pengukuran yang digunakan untuk menilai adalah berbeza. Walau apa pun alat yang digunakan tetapi yang penting ialah usaha dan tindakan yang bersungguh-sungguh hendaklah dilakukan bagi memenuhi keperluan sesiapa atau mana-mana pihak di bawah kawalan anda.

11 Oktober 2011

TUN DR MAHATHIR

Tun Mahathir bin Mohamad merupakan orang yang paling lama menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu selama 22 tahun (1981-2003). Dalam tempoh tersebut jasanya begitu banyak seperti:

a) Amalan Bersih, Cekap dan Amanah

b) Dasar Pandang ke Timur

c) Kereta Malaysia atau Perusahaan Otomobil Nasional (Proton)

d) Lebuh Raya Tol

e) Jambatan Pulau Pinang

f) Bonus tahunan kepada penjawat awam

g) Mewujudkan Putrajaya

h) Membangunkan Pulau Langkawi

i) Lapangan Terbang KLIA

j) Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur

k) Mewujudkan Wilayah Persekutuan Labuan

l) dan banyak lagi


Demikianlah jasanya. Kenapa Tun Mahathir banyak berjasa dan jasanya pasti dikenang. Di manakah kekuatan Tun Mahathir?

Jawabnya beliau mempunyai banyak kekuatan tetapi pada saya yang terkuat ada padanya ialah beliau memiliki moral yang cemerlang.

Oleh jika anda mahu menjadi orang yang berjasa anda hendaklah menjaga moral anda dengan baik.

10 Oktober 2011

ZAMANI

Zamani, seorang pekerja di salah sebuah bank di Kuala Lumpur merupakan teman saya sewaktu di sekolah rendah di Kelantan. Dalam bulan Ogos 2011 beliau mengajak saya makan di restoran kopitiam di Bangi. Saya memenuhi permintaannya kerana sudah lama kami tidak bertemu.

Sewaktu kami sedang makan, beliau menceritakan bahawa betapa pentingnya kita melakukan kewajiban menunaikan solat fardu sebanyak lima kali sehari kerana ia merupakan tiang agama. Runtuhlah rumah kita jika tiangnya runtuh. Beliau menyatakan jika kita hendak mendapat rahmat dan keberkatan serta pahala yang lebih maka kita hendaklah merebut peluang untuk bersolat jemaah di masjid atau surau. Saya begitu kagum dengan kata-kata dan pandangannya yang banyak memberi nasihat yang berguna terutamanya dari segi betapa pentingnya solat berjemaah.

Ketika kami masih rancak berbual tiba-tiba kedengaran suara azan waktu Asar dari masjid Bangi yang terletak berhadapan dengan restoran. Pada mulanya saya berdiam kerana memberi peluang kepadanya untuk meninggalkan restoran dan menuju ke masjid tetapi beliau masih rancak meneruskan perbualan. Semasa kedengaran bilal beriqamah beliau masih juga tidak berganjak dari kerusinya sehinggalah saya terpaksa bertanya kenapa beliau tidak mengambil peluang ke masjid untuk bersolat jemaah. Beliau tidak menjawab soalan saya tetapi sebaliknya beliau meneruskan lagi perbualan.

Kira-kira jam 5.00 petang, kami pun beredar dari restoran itu dan semasa menuju ke kereta kelihatan beberapa orang jemaah keluar dari pagar masjid Bangi.

Ketika memandu dalam perjalanan pulang ke rumah saya mula berfikir tentang kawan saya tadi yang bercakap dengan penuh semangat mengenai pentingnya solat berjemaah di masjid atau surau tetapi rupa-rupanya apa yang dicakapnya belum tentu lagi ia dapat melakukannya.

Oleh itu, anda hendaklah memastikan apa yang anda cakapkan itu dapat anda lakukan kerana anda dinilai bukan berdasarkan apa yang anda perkatakan tetapi apa yang anda lakukan.

5 Oktober 2011

JERRY RICE



Tetapi saya merasakan bahawa sebahagian besar daripada kita di dunia hari ini memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi kita.
(Paul Hoffman)


Seorang pemain American football yang sangat popular di USA ialah Jerry Rice. Semasa mula-mula beliau terlibat dengan pasukannya beliau dihendaki oleh jurulatihnya menjalani latihan yang lasak setiap hari iaitu berlari menaiki bukit yang rendah (50 meter) sebanyak 20 kali pergi-balik sejauh kira-kira 1 kilometer.

Sepanjang masa latihan beliau pernah merasakan tidak tahan dengan cara tersebut dan pulang ke rumahnya untuk tidak meneruskannya lagi. Ketika di rumah beliau terfikir bahawa jika beliau mengutamakan pasukannya beliau perlu meneruskan latihan lasak itu walaupun berdepan dengan keletihan dan kepenatan. Lantas beliau menukar fikirannya dan menuju semula ke bukit itu untuk meneruskan latihan. Corak latihan lasak ini tidak mampu dilakukan oleh pemain-pemain sepasukannya yang lain.

Akhirnya beliau menjadi seorang pemain American football yang sangat terkenal kerana banyak membantu pasukannya dalam memenangi perlawanan yang diadakan.

Anda perlu tahu perkara mana yang lebih utama dan kurang. Kejayaan atau kegagalan anda dalam menentukan keutamaan boleh memberi kesan kepada diri anda seperti anda mungkin akan menjadi seorang yang berjaya dan dihormati atau gagal dan kecewa. Dalam kes di atas, Jerry Rice mungkin tidak menjadi seorang yang berjaya dan popular jika ia tidak meletakkan keutamaan kepada pasukannya tetapi meletakkan kepentingan peribadinya seperti memilih untuk tidak meneruskan larian lasak mendaki bukit akibat kepenatan. Akan tetapi disebabkan beliau memberi keutamaan kepada pasukannya akhirnya beliau berjaya mencipta nama sebagai pemain American fooball yang terkenal.

Anda pasti akan berdepan dengan beberapa pilihan pada setiap hari. Jika anda merupakan seorang pekerja mungkin anda akan berdepan dengan pilihan untuk melakukan beberapa perkara dalam masa yang terhad seperti:

a) menyiapkan tugas yang penting atau kurang penting

b) membuat kerja rasmi atau peribadi

c) menyemak dokumen organisasi atau peribadi 

d) menggunakan internet untuk menyelesaikan masalah organisasi atau peribadi

e) bertugas di luar kawasan atas kepentingan organisasi atau peribadi

f) menghadiri mesyuarat di pejabat yang penting atau di luar yang kurang penting

g) minum di kantin yang disediakan oleh organisasi atau di luar

h) banyak berbincang hal pejabat atau hal peribadi semasa waktu pejabat

Oleh itu sekiranya anda berdepan dengan beberapa pilihan seperti di atas atau lain-lain anda hendaklah membuat pilihan yang lebih utama kerana ia akan membantu anda untuk menjadi seorang pekerja atau insan yang bertanggungjawab, jujur dan ikhlas.

 

2 Oktober 2011

SINGGAH SELALU DI MASJID

Suatu hari dalam bulan September 2011, ketika berada di Johor Bahru saya sempat makan bersama beberapa staf penjara di Restoran Singgah Selalu, Danga Bay. Semasa sedang makan, Amin menceritakan kepada kami bahawa setiap kali ia pulang ke kampungnya di Masjid Tanah Melaka ia mesti menjengah atau singgah di rumah Pak Longnya kerana ia sangat terhutang budi kepadanya. Semenjak kecil hinggalah ke universiti selain daripada ibubapanya, Pak Longlah orang yang selalu membantunya termasuk memberinya wang dan keperluan sekolah.

Disebabkan terhutang budi itulah Amin selalu ingat pada Pak Long dan akan singgah di rumahnya setiap kali ia pulang ke kampung.

Di sini marilah kita renung bersama. Berapa banyakkan budi dan rahmat yang Allah Yang Maha Esa berikan kepada kita. Jika budi Pak Long itu kita boleh ukurkan tetapi rahmat Allah tidak terhitung banyaknya. Sudah berapa kali kita ditimpa sakit dan pelbagaipenyakit sejak dari kecil sehingga sekarang dan dengan rahmatNya jua kita sentiasa diberi kesembuhan daripada penyakit tersebut. Cuba bayangkan jika sakit dan terus sakit dan tidak dapat disembuhkan. Pastinya meranalah hidup kita. Itulah kebesaran Allah yang sentiasa memberi rahmat kepada kita.

Apakah harus kita lakukan sebagai tanda kesyukuran kita kepadaNya? Jika dengan sedikit pertolongan Pak Long kepada Amin, kita sudah menjengah dan sanggup singgah ke rumahnya setiap kali balik kampung maka kenapakah kita tidak sanggup untuk menjengah atau singgah ke Rumah Allah yakni masjid atau surau setiap kali masuk waktu solat fardu lima kali sehari semalam. Setiap waktu yang kita singgah bukanlah mengambil masa yang lama sangat, paling lama 20 minit.

Jika kita singgah di Rumah Allah (tunaikan solat fardu), bukan setakat kita ingin menunaikan kewajipan sebagai seorang insan tetapi kita pula diberi pahala sebanyak 27 kali ganda berbanding jika kita bersolat di rumah.

Oleh itu sebagai tanda kesyukuran kepada Allah marilah kita sama-sama menjengah atau singgah Rumah Allah untuk menunaikan solat fardu lima waktu. Kita hanya menjalankan kewajiban untuk bersolat jemaah dan ingat, soal ganjaran pahala biarlah Allah sahaja yang akan menentukannya.


Biodata

Wan Mohamad Nazarie bin Wan Mahmood dilahirkan pada 6 Ogos 1959 di Kota Bharu, Kelantan. Memiliki bacelor ekonomi drp Universiti Malaya pada tahun 1984.

Bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Muar, Norsina Panot pada tahun 1981 dan memperolehi lima orang anak iaitu Wan Nur Fazni (USIM), Wan Fahmi (University of Edinburgh), Wan Farhan (Bisnes), Wan Fadhlin Sakina (SMS Ulu Selangor) dan Wan Fakhruddin Atiqi (Darjah 1).

Mula berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Jabatan Penjara sebagai Timbalan Penguasa Penjara pada tahun 1.8.1985.

(21 May 2014: Latest updated)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails