5 November 2011

PENJARA, BANDUAN DAN MASYARAKAT

Penjara merupakan satu tempat penahanan yang ditakuti oleh masyarakat kerana ia merupakan tempat mengurung orang-orang yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah. Ia dikelilingi oleh tembok dan pagar yang tinggi. Penghuni yang berada di situ dikenali sebagai banduan. Mereka tidak boleh keluar dari penjara selagi tarikh pembebasan belum sampai waktunya.

Pergerakan mereka sangat terbatas dan mereka dikawal pada setiap masa. Sakit atau demam yang mereka alami tidak lagi dapat ditemani oleh keluarga tersayang untuk merawat dan memberi ubat. Komunikasi dengan keluarga terbatas. Setiap waktu mereka menghitung hari menunggu saat pembebasan walaupun mereka bukannya didera tetapi disebabkan oleh faktor kebebasan. Sesungguhnya bagi banduan, penantian adalah suatu penyiksaan.

Akan tetapi kenapakah masih ada insan yang baru sahaja dibebaskan dari penjara masih mengulangi melakukan jenayah sehingga mereka kembali semula ke penjara. Ini kerana setelah mereka dibebaskan dan kembali semula ke pangkuan masyarakat mereka mendapat jawapan yang berbeza berbanding dengan apa yang mereka harapkan.

Harapan yang menggunung hancur berderai apabila berdepan dengan masyarakat. Rupanya bukan semua masyarakat akan menerima mereka dengan tangan yang terbuka. Mereka diragui, dikhuatiri dan tidak boleh dipercayai. Ada yang memandang sinis dan serong kepada mereka. Para majikan begitu berat untuk mengambil mereka sebagai pekerja mereka. Mereka mula merasa gelisah dengan layanan yang baru mereka terima daripada masyarakat.

Keadaan demikian berterusan dan mereka menjadi semakin hari semakin tidak selesa tinggal bersama masyarakat. Tambahan pula mereka tidak pandai menyesuaikan diri dengan masyarakat dan sering menyalahkan orang lain lantas tidak mahu bersabar dan memperbaiki diri sendiri. Mereka akhirnya membandingkan dengan kehidupan dalam penjara.

Ternyata mereka menilai bahawa penjara lebih baik walaupun banyak perkara yang terbatas namun keputusan yang mereka buat ialah tetap ingin kembali semula ke penjara kerana mahu lari dari masyarakat yang mereka percaya penuh dengan derita dan menyiksakan. Masyarakat bukan lagi tempat yang sesuai dan selesa untuk mereka hidup bersama. Akibatnya mereka mula mencari jalan untuk masuk penjara. Jalannya terbuka luas untuknya melakukan jenayah.

Bukannya susah untuk masuk penjara. Pilihan untuk melakukan kesalahan jenayah terletak di tangannya. Pilihan sudah dibuat, proses perundangan berjalan lancar dan akhirnya hakim menjatuhkan hukuman penjara kepada mereka. Kedatangan mereka ke penjara pada kali kedua atau beberapa kali tetap diterima oleh pihak berkuasa penjara walaupun mereka merupakan tetamu yang tidak diundang.

Walaupun ramai masyarakat melihat penjara sebagai satu tempat yang menakutkan dan kalau boleh mereka tidak inginkan penjara itu wujud atau berada di kawasan mereka namun mereka sangat memerlukan penjara atau dengan kata lain benci tapi rindu. Mereka perlukan penjara kerana di situlah tempat yang dapat mengasing dan menempatkan orang-orang yang berada dalam masyarakat mereka yang bertindak melakukakan pelbagai kejahatan dan kesalahan.

Masyarakat menjadi resah dan gelisah serta bimbang dan tertekan jika tiada langkah diambil bagi membendung masalah-masalah kejahatan seperti pencurian, perompakan, rogol, penyalahgunnan dan pengedaran dadah, kongsi gelap, samseng jalanan, ragut dan macam-macam lagi. Peniaga-peniaga tidak dapat menikmati keuntungan yang bersih akibat kegiatan kongsi gelap yang meminta wang perlindungan ke atas peniaga-peniaga yang berniaga dalam sebuah masyarakat.

Situasi yang berterusan seperti ini menyebabkan bukan sahaja menimbulkan ketakutan kepada pelabur-pelabur tempatan bahkan pelabur-pelabur asing juga akan berfikir panjang untuk datang melabur kerana khuatir dengan keselamatan perniagaan mereka akibat persekitaran jenayah yang berleluasa dalam masyarakat itu. Di sinilah masyarakat mula memikirkan betapa selamatnya mereka jika penjenayah dan pelanggar undang-undang itu diambil tindakan tegas termasuk memenjarakan mereka.

Apabila mereka berada dalam penjara bererti mereka akan hidup berasingan dengan mereka. Pengasingan mereka amat mengembirakan masyarakat yang cukup tersiksa sebelum ini. Mereka dapat menjalankan kehidupan yang normal kerana mereka tidak lagi diganngu dan diugut. Pelabur-pelabur asing pula dengan rela hati datang membawa pelaburan yang bukan sedikit jumlahnya bahkan boleh mencecah berbilion ringgit. Ekonomi Negara terus berkembang dan pembangunan untuk masyarakat dan Negara dapat ditumpukan sepenuhnya.

Nah betapa gembiranya masyarakat. Mereka pula bertanya kenapakah perubahan positif wujudnya dalam masyarakat mereka. Rupa-rupanya mereka mendapat jawapan walaupun mereka berat untuk menyatakan iaitu kerana adanya sebuah penjara di tempat mereka. Harapan masyarakat kepada pihak berkuasa penjara supaya banduan dijaga dengan baik cukup tinggi. Mereka bukan hanya mahu melihat penjara sebagai tempat penjenayah diasingkan daripada mereka tetapi ingin mereka dipulihkan semasa berada dalam penjara. Mereka sedar bahawa orang yang berada di situ boleh terdiri daripada sesiapa sahaja.

Mereka itu mungkin terdiri daripada keluarga mereka, kawan-kawana, orang-orang politik, ahli-ahli perniaga, para pengutkuasa, atau juga para pendidik. Penjara boleh menerima sesiapa sahaja tanpa mengira siapakah mereka itu. Masyarakat ingin pesalah diberi bimbingan yang berkesan agar mereka benar-benar sedar dan berjanji untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang pernah mereka lakukan. Pihak berkuasa penjara bukan sahaja diharapkan supaya memberi bimbingan dan kesedaran tetapi juga menyedia dan melengkapkan para pesalah dengan ilmu-ilmu yang berguna untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

Jika sebelum ini mereka itu buta huruf maka jadikan mereka celik huruf, jika mereka itu jahil tentang agama dan kemasyarakatan maka ajari dan lengkapilah mereka dengan ilmu-ilmu tersebut. Jika mereka masuk penjara kerana mereka tidak mempunyai kemahiran dalam bidang kemahiran seperti menjahit pakaian, ketukangan kayu atau besi, masakan,ternakan atau pertanian maka ajarilah mereka.

Mungkin mereka juga memerlukan sijil-sijil kemahiran dan pendidikan supaya apabila dibebaskan mereka juga dapat menggunakannya untuk mendapatkan peluang-peluang melanjutkan pelajaran di pengajian-pengajian tinggi atau bekerja di mana-mana tempat yang memerlukan sijil-sijil tersebut maka pihak berkuasa penjara perlulah menyediakan peluang tersebut.

Masyarakat tidak rela melihat banduan yang dibebaskan dari penjara masih mengulangi perlakuan jenayah. Masyarakat mengharapkan mereka dapat berdikari dengan melakukan kegiatan yang berfaedah seperti berniaga, bercucuk tanam atau bekerja di mana tempat yang sesuai dengan mereka.

Justeru itu pihak berkuasa penjara harus memainkan peranan yang lebih berkesan bagi memenuhi harapan masyarakat yang tinggi menggunung itu walaupun terpaksa menemuh pelbagai halangan dan masalah-masalah yang berlaku dalam penjara seperti kekurangan anggota, kaunselor, psikologis, doktor, kesesakan dalam penjara atau peruntukan kewangan yang terbatas.

Pihak berkuasa penjara perlu melaksanakan program dan aktiviti yang dapat memenuhi kehendak masyarakat atau dengan perkataan lain pihak berkuasa penjara hendaklah berperanan melindungi masyarakat dengan menyediakan penahanan yang selamat dan melaksanakan program pemulihan yang berkesan ke atas banduan semasa mereka berada dalam penjara.







1 ulasan:

  1. Informasi yang amat berguna...sejak meninggalkan bidang kepenjaraan, saya dapat melihat penjara menerusi dua kacamata.."Pegawai Penjara dan Org Awam"...sebagai pegawai penjara amat penting bagi kita 'membuka pintu' dan mengeluarkan maklumat umum kpd masyarakat agar mereka faham apa yg terdapat di dalam empat tembok batu tersebut..di luar tembok batu, org awam sebenarnya kurang maklumat akan kewujudan aktiviti2 yg dijalankan oleh pihak penjara...jabatan perlu benar2 serius meningkatkan maklumat kpd org awam agar tidak hanya merasa 'gah' dikalangan sendiri dan pegawai penjara juga hendaklah mampu berkomunikasi secara ilmiah dgn pihak awam dlm meningkatkan imej jabatan...kami bekas2 pegawai rasanya akan sentiasa ada untuk membantu sekiranya diperlukan...Wasssalam.

    BalasPadam

Biodata

Wan Mohamad Nazarie bin Wan Mahmood dilahirkan pada 6 Ogos 1959 di Kota Bharu, Kelantan. Memiliki bacelor ekonomi drp Universiti Malaya pada tahun 1984.

Bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Muar, Norsina Panot pada tahun 1981 dan memperolehi lima orang anak iaitu Wan Nur Fazni (USIM), Wan Fahmi (University of Edinburgh), Wan Farhan (Bisnes), Wan Fadhlin Sakina (SMS Ulu Selangor) dan Wan Fakhruddin Atiqi (Darjah 1).

Mula berkhidmat dengan kerajaan Malaysia di Jabatan Penjara sebagai Timbalan Penguasa Penjara pada tahun 1.8.1985.

(21 May 2014: Latest updated)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails